Al-kisahnya, Yang Dipertua Hujung Dunia, Tuanku Kaya Raya telah menerima dengan penuh berat hati watikah kata dua daripada Kerajaan atas kerajaan di istana baginda pada hari ini. Baginda diminta membuat keputusan sama ada melepaskan segala kedudukan atau berdepan dengan malapetaka bahawa ahli keluarga baginda akan berdepan dengan musibah yang amat berat sekali.
Apabila ditanya oleh penasihat baginda iaitu Sheikh Al-Sarawaki sama ada kegusaran tersebut telah dikongsi bersama, baginda menyatakan bahawa baginda telah memaklumkannya kepada ahli keluarga yang amat disayang i iaitu Permaisuri Bainun, Putera Mahkota Alam dan Puteri-Puteri Cendana tentang kesan dan natijah watikah tersebut. Baginda turut menyatakan bahawa cerita duka tersebut juga telah dikhabarkan kepada Yang Dipertua Kaki Bukit dan rakyat jelatanya yang merupakan sepupu sepapat baginda.
"Hati beta merasa sungguh sedih wahai Al-Sheikh. Mengapakah beta tidak diberi pilihan yang lain selain dari musibah ini. Pilihan apakah yang harus beta buat," kata baginda.
Lalu Sheikh Al-Sarawaki pun menjawab "Sebagai manusia kita sememangnya tidak terlepas dari membuat pilihan. Di dalam membuat pilihan yang melibatkan ahli keluarga, jangan sekali-kali Tuanku mementingkan diri sendiri. Sebagai ketua keluarga, Tuanku seharusnya tahu siapa yang lebih penting. Begitu juga dengan ahli keluarga Tuanku. Mereka seharusnya tahu siapa yang lebih penting. Maka, patik pacal yang hina ini berpandangan, pilihan terbaik adalah untuk membuat pilihan yang langsung tidak mementingkan diri sendiri. Begitu juga dengan ahli keluarga Tuanku. Tuanku dan ahli keluarga Tuanku memikul tanggungjawab dan pilihan yang sama."
"Adakalanya kita juga berdepan jalan buntu di mana hanya terdapat satu pilihan yang kadangkala merupakan satu-satunya jalan keluar. Seringkali manusia silap membuat pilihan tetapi itu tidak mengapa kerana kesilapan yang lampau akan menjadikan manusia itu lebih bijak di dalam membuat pilihan yang lebih tepat," tegas Sheikh Al-Sarawaki lagi.
Mendengar kata-kata Sheikh Al-Sarawaki itu, baginda menjadi lebih hiba lalu menitiskan air mata. Lalu Sheikh Al-Sarawaki pun berkata "Patik memohon maaf andai kata Tuanku tersinggung dengan keceluparan kata-kata patik itu tadi."
Baginda pun menjawab "Beta hiba bukan kerana kata-kata kamu wahai Al-Sheikh. Jatuh air mata beta juga bukan kerana tersinggung dengan kata-kata kamu. Hiba dan tangisan beta kerana selama umur beta, setiap pilihan-pilihan yang dibuat seringkali demi kepentingan beta semata-mata. Begitu juga dengan ahli keluarga beta."
Sheikh Al-Sarawaki pun berjalan dan terus memegang bahu Tuanku sambil berkata "Wahai Tuanku yang patik muliakan, maka menjadi pilihan Tuanku dan keluarga Tuanku memilih mulai hari ini untuk berubah ke arah kebaikan bersama. Pilihan-pilihan telah dan akan dibuat yang akan mencerminkan peribadi Tuanku dan keluarga di mata masyarakat."
-Tamat-
oleh:
rb@ssociates
Petaling Jaya
1 comment:
Salam Sheikh Al-Sarawaki,
Mujurlah si Tuanku itu ada Penasihat yang berakal . . . Kalau tidak . . . dah lama tergadai takhta kerajaan entah berantah . . .
Yang si Tuanku itu pula . . . belajarlah ubah-ubah sikit perangai mementingkan diri sendiri sahaja! Fikir-fikirkanlah rakyat jelata juga . . . Tak kan tak faham-faham, tak kan tak sedar-sedar . . . Tak kan langsung tak berakal!
komen ikhlas drpd:
Ketua Kerajaan,
Negara Entah Berentah
Post a Comment