Showing posts with label Sheikh Al-Sarawaki. Show all posts
Showing posts with label Sheikh Al-Sarawaki. Show all posts

Wednesday, October 20, 2010

Al kisah 4 –Pak Sheikh hilang?


Sudah lama benar kita tidak membaca sambungan kisah Pak Sheikh kita yang sorang ni. Entahkan hidup, entahkan mati. Apakah yang sebenarnya telah terjadi di dalam pengembaraan beliau untuk balik ke kampung halamannya.
Sehingga ke saat ini, tiada sebarang surat mahupun emel ada dikirimkannya kepada saya selaku editor kepada “Cerita Pendek Al-Kisah” dan pemilik kepada syarikat penerbitan yang diberi nama “Syarikat Kecil-kecilan Sdn Bhd”.
Khabarnya sebulan yang lepas, ada yang ternampak Pak Sheikh sedang membicarakan kes seekor ayam. Sumber yang boleh dipercayai itu menyatakan, akibat perbicaraan tersebut, Pak Sheikh telah terlambat 10 minit untuk menaiki “Feri Cross the River”bagi merentasi Selat Inggeris.
Sumber tersebut enggan memberi maklumat selanjutnya kepada saya kerana bimbang bahawa nyawanya akan terancam. Menurutnya, Pak Sheikh telah mengeluarkan ancaman secara terbuka untuk membunuh, membakar dan membuang mayat mereka yang membocorkan rahsia tersebut ke Selat Inggeris. Sebagai kawan rapat kepada Pak Sheikh semenjak lebih 20 tahun, saya langsung tidak mempercayai kata-kata sumber tersebut. Ini kerana sumber ini terkenal dengan kesanggupan untuk membuat “deklarasi palsu” semata-mata untuk mendapatkan publisiti murahan.
Oleh kerana tidak mempunyai pilihan lain, saya terpaksa membuat panggilan antarabangsa bagi menghubungi rangkaian “informer” antarabangsa untuk mendapatkan maklumat mengenai tempat terakhir Pak Sheikh dijumpai. Melalui siasatan yang dilakukan oleh McMaTT KencingTon, saya difahamkan bahawa Pak Sheikh telah cuba berenang menyeberangi Selat Inggeris tersebut. “We tried to persuade him to wait untill next morning but We were unable to stop Al-Sarawaki. This Old man was too stubborn.”, beritahu McMatt kepada saya.
McMatt menyatakan selepas hampir 5 minit berenang, ramai orang menyatakan bahawa mereka ternampak seekor Ikan Paus telah cuba menelan Pak Sheikh.
Apa yang terjadi selepas itu? tanya saya kepada McMatt?
Dengan nada marah, McMatt menjawab di dalam pelat melayunya, “you sangat lambap. Are you deaf? atau blind! I sudah kata ramai orang sudah nampak dia kena telan sama itu ikan. Apa lagi u mahu I kata ha, It is better for me to be in hell with a wise man than to be around with a stupid man like you.”
Oleh kerana telinga saya terlalu pedih mendengar kata-kata pedas tersebut, terus meletakkan telefon.
Semenjak hari itu hingga kini, saya pun tidak pasti apa yang terjadi dengan Pak Sheikh sebenarnya. Hanya tuhan yang tahu......dan hanya “informer” saya yang tahu....

Oleh:- Encik Editor
Jam 5.00 Petang

Thursday, September 2, 2010

Al-Kisah 2


Setelah seminggu lamanya berada di istana Tuanku Kaya Raya, lalu sesudah subuh, Sheikh Al-Sarawaki meminta diri kepada Baginda untuk pulang kembali ke kampung halamannya, kampung Di Atas Awan. Baginda Tuanku tiadalah ingin membantah kepada permintaan tersebut walaupun sedikit gusar akan keselamatan Al-Sheikh kerana perjalanan pulang sahaja sudah memakan masa dua bulan purnama.

"Wahai Al-Sheikh. Tinggallah barang sehari dua lagi. Selepas itu, baru Al-Sheikh kembali ke kampung," pujuk baginda.

“Terima kasih wahai Tuanku yang baik hati. Menolak bukan bermaksud hamba durhaka. Membantah bukan bermaksud hamba tidak mengenang budi,” jawab Sheikh Al-Sarawaki.

“Bukan itu maksud beta, namun alangkah gembiranya hati beta sekiranya permintaan kecil ini ditunaikan,”titah Baginda lagi.

Sang Kerma Wijaya yang duduk di sebelah bentara, tiga langkah dari Tuanku dan empat langkah dari Sheikh Al-Sarawaki sambil mengoyang-goyangkan kerisnya tiba-tiba mencelah apabila tersedar peluangnya kini terbuka luas.

“Usah tuan hamba berlaku biadap. Tak sedar diuntung. Kerana mulut santan binasa!”

“Tuanku, Biar sahaja patik rodok keris hikmat ini ke perut pendita durhaka ini,” jerit Sang Kerma Wijaya denga tidak semena-mena.



Sheikh Al-Sarawaki hanya tersenyum melihat tindak tanduk Sang Kerma Wijaya itu. Sedikitpun hatinya tidak merasa gentar. Menyerah semata-semata rungutan dan ugutan tersebut langsung tidak terlintas dibenak Al-Sheikh. Apatah lagi jika ianya datang dari Sang Kerma Wijaya yang memang hebat bila bercakap besar.

Walaupun Sheikh Al- Sarawaki hanya menumpang untuk seminggu sahaja, beliau sudah dapat menilai yang mana intan dan yang mana berlian.

"Wahai Tuanku yang bijaksana, hamba yang hina ini tiadalah dapat menghalang jika benar Tuanku murka. Namun, kemurkaan itu biar ada sebab musababnya. Jangan hanya kerana mendengar guruh dilangit, air di tempayan dicurahkan,” tegas Sheikh Al-Sarawaki.

Selepas meminta diri untuk bertolak, sampai sahaja di muka pintu, Al-Sheikh Al Sarawaki pun berkata "Tuanku yang dimuliakan, Manusia yang bijak, adalah manusia yang pandai mendengar, melihat dan menilai. Mendengar jawapan yang diberikan dan melihat fakta yang mengelilingi jawapan tersebut. Sungguhpun mudah untuk mendengar dan melihat, manusia kebiasaannya gagal di dalam membuat penilaian yang wajar. Penilaian yang tidak wajar kebiasaannya diakibatkan kesilapan di dalam mendengar dan melihat.”

“berhati-hatilah dengan orang yang suka mengadu domba, wahai Tuanku. Assalamualaikum.” Lalu Al-Sheikh pergi meninggalkan Istana dengan hati yang tenang sekali.


-Tamat-

Oleh: Sheikh Al-Sarawaki pada 02/09/2010

Thursday, July 8, 2010

Al-kisah

Al-kisahnya, Yang Dipertua Hujung Dunia, Tuanku Kaya Raya telah menerima dengan penuh berat hati watikah kata dua daripada Kerajaan atas kerajaan di istana baginda pada hari ini. Baginda diminta membuat keputusan sama ada melepaskan segala kedudukan atau berdepan dengan malapetaka bahawa ahli keluarga baginda akan berdepan dengan musibah yang amat berat sekali.
Apabila ditanya oleh penasihat baginda iaitu Sheikh Al-Sarawaki sama ada kegusaran tersebut telah dikongsi bersama, baginda menyatakan bahawa baginda telah memaklumkannya kepada ahli keluarga yang amat disayang i iaitu Permaisuri Bainun, Putera Mahkota Alam dan Puteri-Puteri Cendana tentang kesan dan natijah watikah tersebut. Baginda turut menyatakan bahawa cerita duka tersebut juga telah dikhabarkan kepada Yang Dipertua Kaki Bukit dan rakyat jelatanya yang merupakan sepupu sepapat baginda.
"Hati beta merasa sungguh sedih wahai Al-Sheikh. Mengapakah beta tidak diberi pilihan yang lain selain dari musibah ini. Pilihan apakah yang harus beta buat," kata baginda.
Lalu Sheikh Al-Sarawaki pun menjawab "Sebagai manusia kita sememangnya tidak terlepas dari membuat pilihan. Di dalam membuat pilihan yang melibatkan ahli keluarga, jangan sekali-kali Tuanku mementingkan diri sendiri. Sebagai ketua keluarga, Tuanku seharusnya tahu siapa yang lebih penting. Begitu juga dengan ahli keluarga Tuanku. Mereka seharusnya tahu siapa yang lebih penting. Maka, patik pacal yang hina ini berpandangan, pilihan terbaik adalah untuk membuat pilihan yang langsung tidak mementingkan diri sendiri. Begitu juga dengan ahli keluarga Tuanku. Tuanku dan ahli keluarga Tuanku memikul tanggungjawab dan pilihan yang sama."
"Adakalanya kita juga berdepan jalan buntu di mana hanya terdapat satu pilihan yang kadangkala merupakan satu-satunya jalan keluar. Seringkali manusia silap membuat pilihan tetapi itu tidak mengapa kerana kesilapan yang lampau akan menjadikan manusia itu lebih bijak di dalam membuat pilihan yang lebih tepat," tegas Sheikh Al-Sarawaki lagi.
Mendengar kata-kata Sheikh Al-Sarawaki itu, baginda menjadi lebih hiba lalu menitiskan air mata. Lalu Sheikh Al-Sarawaki pun berkata "Patik memohon maaf andai kata Tuanku tersinggung dengan keceluparan kata-kata patik itu tadi."
Baginda pun menjawab "Beta hiba bukan kerana kata-kata kamu wahai Al-Sheikh. Jatuh air mata beta juga bukan kerana tersinggung dengan kata-kata kamu. Hiba dan tangisan beta kerana selama umur beta, setiap pilihan-pilihan yang dibuat seringkali demi kepentingan beta semata-mata. Begitu juga dengan ahli keluarga beta."
Sheikh Al-Sarawaki pun berjalan dan terus memegang bahu Tuanku sambil berkata "Wahai Tuanku yang patik muliakan, maka menjadi pilihan Tuanku dan keluarga Tuanku memilih mulai hari ini untuk berubah ke arah kebaikan bersama. Pilihan-pilihan telah dan akan dibuat yang akan mencerminkan peribadi Tuanku dan keluarga di mata masyarakat."
-Tamat-
oleh: 
rb@ssociates
Petaling Jaya