Thursday, September 2, 2010

Al-Kisah 2


Setelah seminggu lamanya berada di istana Tuanku Kaya Raya, lalu sesudah subuh, Sheikh Al-Sarawaki meminta diri kepada Baginda untuk pulang kembali ke kampung halamannya, kampung Di Atas Awan. Baginda Tuanku tiadalah ingin membantah kepada permintaan tersebut walaupun sedikit gusar akan keselamatan Al-Sheikh kerana perjalanan pulang sahaja sudah memakan masa dua bulan purnama.

"Wahai Al-Sheikh. Tinggallah barang sehari dua lagi. Selepas itu, baru Al-Sheikh kembali ke kampung," pujuk baginda.

“Terima kasih wahai Tuanku yang baik hati. Menolak bukan bermaksud hamba durhaka. Membantah bukan bermaksud hamba tidak mengenang budi,” jawab Sheikh Al-Sarawaki.

“Bukan itu maksud beta, namun alangkah gembiranya hati beta sekiranya permintaan kecil ini ditunaikan,”titah Baginda lagi.

Sang Kerma Wijaya yang duduk di sebelah bentara, tiga langkah dari Tuanku dan empat langkah dari Sheikh Al-Sarawaki sambil mengoyang-goyangkan kerisnya tiba-tiba mencelah apabila tersedar peluangnya kini terbuka luas.

“Usah tuan hamba berlaku biadap. Tak sedar diuntung. Kerana mulut santan binasa!”

“Tuanku, Biar sahaja patik rodok keris hikmat ini ke perut pendita durhaka ini,” jerit Sang Kerma Wijaya denga tidak semena-mena.



Sheikh Al-Sarawaki hanya tersenyum melihat tindak tanduk Sang Kerma Wijaya itu. Sedikitpun hatinya tidak merasa gentar. Menyerah semata-semata rungutan dan ugutan tersebut langsung tidak terlintas dibenak Al-Sheikh. Apatah lagi jika ianya datang dari Sang Kerma Wijaya yang memang hebat bila bercakap besar.

Walaupun Sheikh Al- Sarawaki hanya menumpang untuk seminggu sahaja, beliau sudah dapat menilai yang mana intan dan yang mana berlian.

"Wahai Tuanku yang bijaksana, hamba yang hina ini tiadalah dapat menghalang jika benar Tuanku murka. Namun, kemurkaan itu biar ada sebab musababnya. Jangan hanya kerana mendengar guruh dilangit, air di tempayan dicurahkan,” tegas Sheikh Al-Sarawaki.

Selepas meminta diri untuk bertolak, sampai sahaja di muka pintu, Al-Sheikh Al Sarawaki pun berkata "Tuanku yang dimuliakan, Manusia yang bijak, adalah manusia yang pandai mendengar, melihat dan menilai. Mendengar jawapan yang diberikan dan melihat fakta yang mengelilingi jawapan tersebut. Sungguhpun mudah untuk mendengar dan melihat, manusia kebiasaannya gagal di dalam membuat penilaian yang wajar. Penilaian yang tidak wajar kebiasaannya diakibatkan kesilapan di dalam mendengar dan melihat.”

“berhati-hatilah dengan orang yang suka mengadu domba, wahai Tuanku. Assalamualaikum.” Lalu Al-Sheikh pergi meninggalkan Istana dengan hati yang tenang sekali.


-Tamat-

Oleh: Sheikh Al-Sarawaki pada 02/09/2010

1 comment:

Bamuda said...

Salam Pak Sheikh,

Kisah Bukit Tinggi, Melaka atau Panji Semarang?

'Biarlah Keris Taming Sari terbenam di perut Sungai Duyung sampai ke sesuatu waktu . . . '

Demikian lebih kurang maksud Hang Tuah apabila dia melontarkan kerisnya ke dalam sungai yang begitu gah ceritanya dulu . . . menurut apa yang dikisahkan Sejarah Melayu . . .

Itu dulu. Sekarang Keris Taming Sari sudah timbul di 'Silver State' dan Sungai Duyung semakin sempit! Biarkan, biarkan!