Wahai Ayahanda yang dikasihi dan dihormati. Izinkan anakandamu yang tidak seberapa ini untuk berkongsi keluh dan resah bersama Ayahanda.
Anakanda di sini mengerti akan isi hatimu.
Bicara Ayahanda tentang "waktu" sememangnya amat bererti. Kiasan demi kiasan tidak semena-mena mengingatkan anakanda tentang pepatah dulu kala "Anak kera di hutan disusui, anak sendiri mati kelaparan". Anakanda berpandangan isu "waktu" sebenarnya sentiasa terletak kepada "kebijaksanaan"seseorang untuk menilai "apa yang lebih penting" dan "siapa yang lebih penting". Mungkin mudah bagi anakanda melontarkan buah fikiran yang tidak seberapa ini kerana berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Keengganan memahami "waktu" sudah menjadi lumrah dunia, Ya Ayahandaku. Entah di mana silapnya. Sehingga kini anakanda ini masih mencari jawapannya.
Tidak mungkin kehadiran semata-mata boleh membawa erti sekiranya sentiasa bersendirian di suatu tempat yang sunyi dan sepi. Memang benar kata Ayahanda, maka sia-sialah niat untuk bersama-sama.
Untuk mengundurkan "waktu", ingin sekali anakanda lakukan wahai Ayahandaku. Namun, Allah S.W.T lebih mengetahui, andainya manusia berakal satu ini boleh berbuat demikian, apa "lagi" kerosakan yang akan dilakukan...
-semoga keluarga kita kekal bahagia selamanya-
rb
The King, his family and U
2 weeks ago
1 comment:
Salam, Anakanda Roy,
Terima kasih kerana cuba memahami.
Apa yang ayahanda catatkan dalam "WaQtu oh WaQtu" sekadar mengingatkan diri ayahanda sendiri dan ahli-ahli keluarga terdekat ayahanda agar tidak 'lalai' dalam menggunakan 'waktu yang sedikit' diberi Allah kepada kita semua ini untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat dan bersesuaian serta kena pada tempatnya.
Kata golongan alim ulama, "Menyenangkan hati orang lain adalah satu kebajikan,dan menyenangkan hati ahli keluarga terdekat adalah suatu kewajipan."
Dan, kata orang yang arif dan bijak pandai pula, "Menumpukan pemikiran yang mendalam terhadap kedua-dua perkara di atas adalah suatu kewajaran."
Namun, untuk melakukan perkara begini memang memerlukan 'sedikit' kebijaksanaan tetapi 'banyak' kematangan!
Pelaku mesti tahu 'keutamaan' yang harus diberikan. Mana dahulu mana kemudian!
Ayahanda rasa bukan susah hendak mengerti apa yang diberitahu atau dinasihati seseorang kepada kita. Cuma mungkin 'ego' kita terlalu tinggi atau kita memang 'keras kepala' untuk menerima nasihat atau teguran seseorang!
Seperkara lagi rasanya ada membabitkan didikan awal atau contoh yang dilihat dan terserap dalam diri individu . . . akibat 'keadaan yang negatif' atau 'cara berkeluarga yang kurang sihat' . . ... diperolehi daripada suasana dan keadaan alam sekeliling si individu itu.
Namun kalau si punya diri memang mahu berubah . . . maka pasti perubahan boleh dilakukan . . . kalau dia tidak mahu . . . maka tiada siapa yang boleh melakukan perubahan itu untuknya!
Bak kata pepatah, "Hendak seribu daya, tak hendak seribu daleh." Lagi pun, seperti yang ayahanda nyatakan di akhir blog ayahanda itu, "After all this is a free country".
Kesimpulannya, orang yang "Berhemah tinggi, pasti megerti!"
Post a Comment