Tuesday, September 7, 2010

Al kisah 3 – Pak Sheikh, Orang-Orang Kampung, Pak Pandir & Pencuri Ayam


Setelah hampir 7 hari berjalan dan setelah hampir 7 malam menunggang kuda dan setelah 7 kali menempuh 7 bukit bukau,  akhirnya Pak Sheikh Al-Sarawaki sampai di sebuah kampung yang tidak dikenali asal usulnya. Walaupun tidak terkira penatnya, Pak Sheikh mengagahi dirinya untuk berjalan ke arah segerombolan manusia yang baru sahaja dilihatnya setelah semenjak lama. Tujuannya hanya untuk meminta air barang segelas dua dan juga untuk bertanya nama kampung kepada mereka.
“Assalamualaikum,” Pak Sheikh menyapa mereka itu. Namun salam itu tidak berjawab. Mungkin kerana kerana keadaan terlalu hiruk pikuk, salam itu tidak didengar oleh mereka ini, fikir Pak Sheikh.
“Assalamulaikum,” kata Pak Sheikh lagi.
“Waalaikumussalam, ya Pak tua, apakah gerangan yang boleh kami bantu, penduduk kampung dengar sahaja,” jawab pemuda itu dengan nada yang terkejut.
“hamba seorang musafir ingin meminta sedikit air,” kata Sheikh Al-Sarawaki.
Lalu pemuda itu mengambil air kosong lalu diberikan kepada Pak Sheikh. Selepas itu pemuda itu menuju kerah orang ramai tadi seolah-olah sedang bermesyuarat.
Habis sahaja meminum air itu, Pak Sheikh pun mengucapkan terima kasih kepada pemuda itu. Tidak pula pemuda itu menjawabnya. Begitu juga dengan seorang tua di sebelahnya. Aneh betul kelakuan mereka ini, adakah kelakuan-kelakuan ada kena mengena dengan nama kampung ini, fikir Pak Sheikh lagi.
“Pak tua, sebelum tuan hamba pergi meninggalkan kampung ini, kami perlu bantuan pak tua,” kata salah seorang pemuda di situ.
“apakah bantuan yang hamba maksudkan?” sambil Pak Sheikh menggaru-garukan kepalanya.
“Pak Tua, lihat budak  dan seekor ayam yang diikat di hujung sana. Kami percaya budak tersebut telah mencuri ayam tersebut lalu kami orang kampung menangkapnya. Sekarang kami mengambil keputusan untuk melantik Pak Tua untuk menjadi pembela, pendakwa dan hakim untuk menjalankan perbicaraan terhadap budak tersebut,” kata pemuda itu dengan tegasnya seolah-olah ianya tidak boleh ditolak lagi.
“Wahai pemuda, pernahkah kamu mendengar bahawa manusia boleh berada di tiga tempat di dalam satu-satu masa,” kata Pak Sheikh kepada pemuda itu.
“Tidak pernah sama sekali,” jawab pemuda itu.
“Atas alasan yang sama, hamba perlu menolak permintaan tadi,” kata Pak Sheikh.
Orang-orang kampung Dengar Sahaja tersentak mendengar jawapan tersebut. Lalu mereka bermesyuarat lagi. Sampai satu ketika, lalu wakil mereka berkata kepada Pak Sheikh.
“Wahai Pak Tua yang kami rasakan bijaksana, kami sebulat suara melantik tuan hamba menjadi Hakim. Tiada pendakwa. Tiada pembela. Yang ada hanyalah pengadu, pencuri ayam dan ayam yang dicuri itu. Maka jalankan perbicaraan seadil-adilnya sekarang juga. Sekiranya gagal, maka tuan hamba akan kami penjarakan selama mana kami tidak mendengar adanya orang yang alim dan bijaksana lalu lalang di sini”.
Walaupun terkejut dengan kata dua itu, Pak Sheikh tidak melatah sebaliknya bersetuju dengan arahan itu. Sebaik sahaja matahari mencecah kepala, lalu perbicaraan dijalankan. Maka, Pak Sheikh pun memanggil pengadu untuk memberi keterangan. Namun sebelum itu, Pak Sheikh telah pun membelek-belek ayam itu dan kemudiannya meminta ayam tersebut diberikan kepada pencuri ayam itu.

Al-Sheikh: Sila perkenalkan diri kamu, wahai tuan pengadu?
Pengadu: Nama hamba, Pak Pandir. Panggil hamba Pandir sahaja.
Al-Sheikh: Hamba difahamkan ayam yang dicuri adalah milik Pak Pandir. Adakah itu benar?
Pengadu: Benar wahai Pak Tua. Itu ayam Jantan hamba. Ayam jantan hamba telah hilang semenjak dua hari lepas.
Al Sheikh: Bagaimanakah Pak Pandir tahu bahawa ayam itu milik Pak Pandir?
Pengadu: Memang hamba pasti hambalah pemiliknya. Kalau Pak Tua lihat betul-betul, ayam tersebut berbulu merah. Di dalam kampung ini, hanya ada satu sahaja ayam jantan merah. Ayam yang lain bulunya kuning.

Lalu Al-Sheikh bertanya kepada wakil kampung samaada ianya benar atau tidak. Sesungguhnya wakil kampung mengiakan jawapan pengadu itu tadi.

“Wahai Pak Pandir. Hamba tidak mempunyai sebarang soalan lagi. Hamba yakin dan pasti bahawa sememangnya ayam Pak Pandir yang hilang adalah ayam yang jantan dan berwarna merah. Namun hampa terpaksa melepaskan budak itu tanpa perlu memanggilnya,” putus Pak Sheikh.

Pak Pandir terkejut. Orang-orang kampung  Dengar Sahaja pun terkejut. Mereka tersangat marah mendengarkan keputusan tersebut sedangkan bukti yang diberikan tersangatlah kuat. Lalu mereka pun bertanya, apakah alasan Pak Sheikh memutuskan sedemikian.
 “Wahai orang-orang kampung.  Hamba hairan mengapa masalah semudah ini tidak boleh diselesaikan. Di manakah akal dan fikiran yang tuhan kurniakan? Akal dan fikiran tuan-tuan hamba jika digunakan sebaiknya-baiknya sudah pasti tidak memerlukan mesyuarat disini dan sana,” tegas Pak Sheikh tanpa berselindung.
“Wahai budak, sila beritahu orang kampung, apakah ayam tuan hamba berwarna merah,”tanya Pak Sheikh kepadanya.
“Benar, Pak Tua. Ayam hamba berwarna merah. Tetapi Ayam hamba ini ayam betina dan bukannya ayam jantan!” jawab budak tersebut sambil menangis.
Orang-rang kampung Dengar Sahaja tercengang mendengar jawapan tersebut. Di dalam hati, masing-masing menyumpah diri masing-masing kerana kebodohan yang amat sangat sehingga mendapat malu sebegini rupa dek kerana satu masalah yang mudah. Pak Pandir sebaik sahaja mendengar perkataan ayam betina terus berlari-lari sekuat-kuat hati dan terjun ke sungai yang berdekatan bersama-sama dengan labu-labunya.

-Tamat-

Oleh: Sheikh Al-Sarawaki pada 07/09/2010


Thursday, September 2, 2010

Al-Kisah 2


Setelah seminggu lamanya berada di istana Tuanku Kaya Raya, lalu sesudah subuh, Sheikh Al-Sarawaki meminta diri kepada Baginda untuk pulang kembali ke kampung halamannya, kampung Di Atas Awan. Baginda Tuanku tiadalah ingin membantah kepada permintaan tersebut walaupun sedikit gusar akan keselamatan Al-Sheikh kerana perjalanan pulang sahaja sudah memakan masa dua bulan purnama.

"Wahai Al-Sheikh. Tinggallah barang sehari dua lagi. Selepas itu, baru Al-Sheikh kembali ke kampung," pujuk baginda.

“Terima kasih wahai Tuanku yang baik hati. Menolak bukan bermaksud hamba durhaka. Membantah bukan bermaksud hamba tidak mengenang budi,” jawab Sheikh Al-Sarawaki.

“Bukan itu maksud beta, namun alangkah gembiranya hati beta sekiranya permintaan kecil ini ditunaikan,”titah Baginda lagi.

Sang Kerma Wijaya yang duduk di sebelah bentara, tiga langkah dari Tuanku dan empat langkah dari Sheikh Al-Sarawaki sambil mengoyang-goyangkan kerisnya tiba-tiba mencelah apabila tersedar peluangnya kini terbuka luas.

“Usah tuan hamba berlaku biadap. Tak sedar diuntung. Kerana mulut santan binasa!”

“Tuanku, Biar sahaja patik rodok keris hikmat ini ke perut pendita durhaka ini,” jerit Sang Kerma Wijaya denga tidak semena-mena.



Sheikh Al-Sarawaki hanya tersenyum melihat tindak tanduk Sang Kerma Wijaya itu. Sedikitpun hatinya tidak merasa gentar. Menyerah semata-semata rungutan dan ugutan tersebut langsung tidak terlintas dibenak Al-Sheikh. Apatah lagi jika ianya datang dari Sang Kerma Wijaya yang memang hebat bila bercakap besar.

Walaupun Sheikh Al- Sarawaki hanya menumpang untuk seminggu sahaja, beliau sudah dapat menilai yang mana intan dan yang mana berlian.

"Wahai Tuanku yang bijaksana, hamba yang hina ini tiadalah dapat menghalang jika benar Tuanku murka. Namun, kemurkaan itu biar ada sebab musababnya. Jangan hanya kerana mendengar guruh dilangit, air di tempayan dicurahkan,” tegas Sheikh Al-Sarawaki.

Selepas meminta diri untuk bertolak, sampai sahaja di muka pintu, Al-Sheikh Al Sarawaki pun berkata "Tuanku yang dimuliakan, Manusia yang bijak, adalah manusia yang pandai mendengar, melihat dan menilai. Mendengar jawapan yang diberikan dan melihat fakta yang mengelilingi jawapan tersebut. Sungguhpun mudah untuk mendengar dan melihat, manusia kebiasaannya gagal di dalam membuat penilaian yang wajar. Penilaian yang tidak wajar kebiasaannya diakibatkan kesilapan di dalam mendengar dan melihat.”

“berhati-hatilah dengan orang yang suka mengadu domba, wahai Tuanku. Assalamualaikum.” Lalu Al-Sheikh pergi meninggalkan Istana dengan hati yang tenang sekali.


-Tamat-

Oleh: Sheikh Al-Sarawaki pada 02/09/2010

bila ku dengar “Yang Agung” berbicara


Bila Ku Dengar “Yang Agung” Berbicara

ku redah langit
nun jauh di awangan
ku renangi lautan
berombak bergelimpangan
ku harungi denai
biarpun berkeliaran
bila ku dengar “Yang Agung” berbicara

membara sang  mentari
seolah ingin membunuhku
menitik ke pipi hujan gerimis
lalu menyejukkanku
mendung pun berlalu
cahaya menyapaku
bila ku dengar “Yang Agung” berbicara

berjanji itu
berjanji begini
bukan sifatku
bukan sifatmu
bersihkanlah jiwaku
permudahkan semuanya
bila ku dengar “Yang Agung” berbicara

Onak berliku
 akan ku tempuhi
Tersadung terjatuh akan ku berdiri lagi
Akan ku ulangi biarpun beribu kali
Bila ku dengar “Yang Agung” berbicara

Rb/2Sep/2010